Jumaat, 29 Julai 2011

KELEBIHAN RAMADHAN


Assalamualaikum..sekadar perkongsian di pagi jumaat.

KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.
1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-


PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.
2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.
3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.
4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.
5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.
6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.
7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.
8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.
9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.
10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.
11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Insyaallah, sama-sama kita fikir dan amalkan untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik..

Dari saya kepada pembaca semua: "Selamat menyambut bulan Ramadhan dan selamat menunaikan ibadah berpuasa. Moga ibadah kita diterima oleh Allah s.w.t."

Assalamualaikum..
Sbm

Jumaat, 22 Julai 2011

Menjelang Kiamat

Assalamualaikum..sekadar perkongsian di pagi jumaat.

Menjelang Kiamat - Apabila Nabi Isa Turun

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, sesungguhnya telah dekat masa Isa anak Maryam akan turun di tengah-tengah kamu.
 Dia akan menjadi hakim yang adil, akan dihancurkannya salib, dibunuhnya babi, dihapuskannya pajak dan kekayaan akan melimpah ruah, sehingga tidak seorang pun lagi yang bersedia menerima pemberian.”
Dari Abu hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Belum akan terjadi kiamat sehingga matahari terbit dari barat. Apabila matahari telah terbit di barat, manusia akan iman semuanya. Tetapi ketika itu imannya tiada berguna lagi apabila sebelumnya dia tiada beriman, atau tiada berbuat kebajikan dengan imannya itu.”

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Ada tiga perkara, apabila ketiganya terwujud, maka iman seseorang tiada berguna lagi apabila dia belum iman sebelumnya atau tiada berbuat kebajikan dengan imannya itu. Iaitu;

1. Apabila matahari terbit dari barat.
2. Dajjal keluar.
3. Dabbah (binatang melata) berkeliaran di muka bumi.”

Dari Abu Dzar r.a : Nabi saw bersabda, “Tahukah anda semua, ke manakah matahari itu pergi?” Jawab mereka, ‘Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.’ Sabda Nabi saw, “Dia (matahari) berjalan sampai ke perhentiannya di bawah Arasy, lalu di sana dia sujud. Dia senantiasa sujud sampai datang perintah: Bangkitlah, dan kembali ke tempatmu semula.
Dia pun pergi dan muncul lagi di tempatnya semula. Kemudian dia berjalan sampai hingga sampai pula di tempatnya di bawah Arasy, lalu di sana dia sujud sampai datang pula perintah: Bangkitlah dan kembali ke tempatmu semula. Dia pun pergi dan terbit di tempatnya semula.
Kemudian ia berputar pula, tidak pernah membantah sedikit jua pun hingga ia sampai pula kembali di tempatnya di bawah Arasy. Tiba-tiba ia mendapat perintah: Bangkitlah, dan muncullah di tempat engkau biasa tenggelam. Maka terbitlah ia di barat.”
Sabda Rasulullah saw, “Tahukah anda semua, bilakah itu akan terjadi? Ialah (ia terjadi) pada hari di mana iman seseorang tiada berguna lagi jika sebelumnya dia tidak beriman, atau tidak berbuat suatu kebajikan dengan imannya itu.”


Insyaallah, sama-sama kita fikir dan amalkan untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik..

Assalamualaikum..
Sbm

Jumaat, 15 Julai 2011

Kemurahan Rahmat Allah s.w.t

Assalamualaikum..sekadar perkongsian di pagi jumaat.

Kemurahan Rahmat Allah s.w.t Dan Rahmat Nya Mengatasi Kemurkaan Nya.


Hadis Abu Hurairah r.a:  Nabi s.a.w bersabda: Sebaik sahaja Allah s.w.t menciptakan makhluk-Nya. Dia terus menulis dalam kitab yang berada di sisi-Nya di atas Arasy: Sesungguhnya rahmat-Ku mengatasi kemurkaan-Ku.



Hadis Abu Hurairah r.a katanya:  Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t menjadikan rahmat sebanyak seratus bahagian. Dia menahan di sisi-Nya sebanyak sembilan puluh sembilan dan diturunkan ke bumi hanya satu bahagian. Dari satu bahagian inilah seluruh makhluk saling kasih mengasihi antara satu sama lain sehinggakan binatang mengangkat kaki dari anaknya takut terpijak atau menyakiti anaknya.




Hadis Umar bin Al-Khattab r.a:  Sesungguhnya beliau membawa beberapa orang tawanan menemui Rasulullah s.a.w. Seorang wanita dari kalangan tawanan tersebut kelihatan mencari sesuatu. Sebaik sahaja dia menemui seorang bayi dari kalangan tawanan, dia mengambil bayi tersebut lalu didukung dan disusuinya. Lantas Rasulullah s.a.w bersabda kepada kami: Adakah pada pandangan kamu wanita ini sanggup membuang anaknya ke dalam api? Kami menjawab: Tidak. Demi Allah dia tidak sanggup membuangkannya. Rasulullah s.a.w bersabda: Allah s.w.t amat kasihan belas terhadap hamba-Nya daripada kasih sayang perempuan ini terhadap anaknya.



Hadis Abu Hurairah r.a: 
Rasulullah s.a.w bersabda: Seorang lelaki yang tidak pernah membuat kebaikan berkata kepada keluarganya bahawa apabila dia mati, bakarlah jenazahnya dan buangkan abunya. Sebahagian di darat dan sebahagian lagi ke laut. Demi Allah! Sekiranya Allah ingin mengazabnya, pasti akan diazab dengan seksaan yang tidak pernah dilakukan terhadap orang lain. Sebaik sahaja lelaki tersebut mati, dia diperlakukan sebagaimana permintaannya. Lalu Allah s.w.t memerintahkan abu yang dibuang ke bumi supaya bercantum. Kemudian memerintahkan pula abu yang dibuang ke laut supaya bercantum. Setelah semuanya bercantum, Allah s.w.t berfirman: Mengapa kamu lakukan semua ini. Dia menjawab: Kerana takut kepada-Mu Ya Allah dan Engkau lebih mengetahui segala-galanya. Lalu Allah mengampuni lelaki tersebut.


Insyaallah, sama-sama kita fikir dan amalkan untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik..

Assalamualaikum..
Sbm

Jumaat, 8 Julai 2011

Bisikan-Bisikan Hati

Assalamualaikum..sekadar perkongsian di pagi jumaat.

Bisikan-Bisikan Hati

 Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak akan ambil peduli terhadap umatku, selama yang berbicara hatinya, tetapi belum diucapkannya atau belum dilaksanakannya.”
 Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Allah Azza wa Jalla berfirman, ‘Apabila hamba-Ku berniat hendak melakukan suatu kebajikan tetapi belum dilaksanakannya, Aku tulis untuknya sepuluh sampai tujuh ratus ganda kebajikan.
Apabila dia berniat hendak melakukan suatu kejahatan, tetapi belum dilaksanakannya, tidak Ku tulis apa-apa baginya. Jika dilaksanakannya, Ku tulis untuknya satu kejahatan.”

Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Syaitan akan datang kepada anda bertanya, siapakah yang menciptakan ini dan itu? Sehingga akhirnya dia bertanya, siapa pula yang menciptakan Tuhanmu itu? Apabila sudah sampai ke situ, maka berlindunglah dengan Allah (mengucapkan A’udzubillahi minasy syaito nirrojim), dan sudahilah.”
Insyaallah, sama-sama kita fikir dan amalkan untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik..

Assalamualaikum..
Sbm

Jumaat, 1 Julai 2011

Israk dan Mikraj

Assalamualaikum..sekadar perkongsian di pagi jumaat.

Peristiwa Israk dan Mikraj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Israk dan Mikraj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Israk dan Mikraj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Israk dan Mikraj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut).Israk Mikraj adalah perkara yang menguji keimanan kita bagi umat islam. Peristiwa yang berlaku keatas Rasullullah wajib diyakini dan dipercayai bagi mentafsirkan keimanan kita pada perkara-perkara ghaib.

Firman Allah S.W.T. : "Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat." (Surah Al-Israa': Ayat 1).

Sedikit petikan dari hadis sahih Bukhari mengenai iman..

1. Dari Anas r.a : Rasulullah saw bersabda, "Tidak sempurna iman seseorang kamu sebelum ia menyukai untuk saudaranya (sesama Islam) apa yang disukainya untuk dirinya sendiri."

2. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Tanda orang munafik ada tiga :
• Apabila berbicara ia dusta
• Apabila ia berjanji ia menyalahi janji
• Apabila dipercaya ia berkhianat."
3. Dari Abdullah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Memaki orang muslim adalah derhaka (fasik) dan membunuhnya kafir."

4. Dari Abu Mas’ud r.a : Nabi saw bersabda,”Apabila seorang laki-laki memberikan nafkah kepada keluarganya dengan ikhlas, maka (pahala) nafkah itu sama dengan (pahala) sedekah.”


Insyaallah, sama-sama kita fikir dan amalkan untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik..

Assalamualaikum..
Sbm

Jumaat, 10 Jun 2011

Tips menjadi Muslim yang Baik:

Tips menjadi Muslim yang Baik:

1. Dari Abdullah bin Amr bin Ash r.a : Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah saw, “Orang Islam yang bagaimanakah yang paling baik?” Jawab Rasulullah saw, “Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang Islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya”.

2. Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya.

3. Dari Abu Hurairah r.a dan dari Abu Syuraikh Al-Khuza’iy r.a : Rasulullah saw bersabda, “Siapa yang iman dengan Allah dan hari kiamat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada tetangganya. Siapa yang iman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya, dan siapa yang iman dengan Allah dan hari kiamat, hendaklah dia berkata yang baik atau diam.”

4. Dari Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, “Kamu tidak dapat masuk syurga, sebelum kamu beriman, dan kamu belum dapat dikatakan mukmin sebelum kamu kasih mengasihi satu sama lain. Sukakah kamu aku tunjukkan jalan untuk berkasih-kasihan? Galakkanlah salam antara sesamamu.”

 Insyaallah, sama-sama kita fikir dan amalkan untuk menjadi seorang hamba Allah yang baik..

Assalamualaikum..
Sbm

Jumaat, 3 Jun 2011

Agar Silaturahim Kembali Mesra

Pagi ni saya terbaca berkenaan dengan artikel bertajuk “Agar Silaturahim Kembali Mesra” dan tertarik untuk saya berkongsi dengan rakan-rakan sekerja. Insyaallah, dengan ilmu dan maklumat yang dibaca ini dapat mengingatkan kita semula dan keluar dari kealpaan dan godaan syaitan.

Sabda Rasullullah s.a.w. – “Allah S.W.T akan selalu menolong hamba-Nya selama mana hamba-Nya itu selalu menolong saudaranya.”

Oleh sebab itu, jika kita mahukan pertolongan Allah, kita perlu memelihara hubungan dengan manusia dan hidup tolong menolong antara satu sama lain.
Untuk mengenali saudara kita supaya kemesraan dan kefahaman terpelihara adalah seperti :         
           
Selalu ingat kebaikan orang kepada kita – supaya kita menyukai seseorang dan mengelakkan bersangka buruk, kita harus selalu melihat kebaikan yang telah mereka lakukan terhadap kita. Sebagai contoh, jika di pejabat kita pernah berbuat seperti mengumpat dan mengutuk ketua kita. Cuba kita bayangkan kebaikannya kepada kita seperti meluluskan cuti, memberi sokongan naik pangkat, kenaikan gaji, tempat rujukan dan sebagainya.
Melihat kebaikan orang boleh melupakan kita kepada kelemahan mereka. Kita akan lebih menghargai kehadiran mereka dalam hidup kita,

Sabda Rasullullah s.a.w. – “Allah Seorang hamba yang menutup aib seorang hamba yang lain di dunia, nescahaya Allah S.W.T tutup aibnya di hari kiamat kelak.”

Insyaallah sama-sama kita renungkan dan berfikir serta beramal apa yang telah disampaikan. Untuk membaca lebih lanjut boleh baca di majalah Solusi keluaran ke-30.

Assalamualaikum..

Khamis, 24 Mac 2011

7 Golongan Manusia Mendapat Perlindungan Allah S.W.T

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: “Tujuh golongan manusia yang akan diberi perlindungan oleh Allah dalam naungannya di hari yang tiada naungan melainkan perlindungan Allah itu sendiri iaitu;
1.  Imam (pemimpin) yang adil,
2. pemuda yang sentiasa beribadat kepada Allah,
3. lelaki yang hatinya sentiasa terpaut dengan masjid,
4. dua orang yang saling cinta mencintai kerana Allah di mana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah,
5. seorang lelaki yang diajak oleh wanita rupawan serta berkedudukan tinggi untuk melakukan zina, lalu ia menjawab, Aku takut kepada Allah,
6. seseorang yang bersedekah dengan sesuatu sedekah lalu menyembunyikan sedekahnya itu sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dibelanjakan oleh tangan kanannya,
7. seseorang yang mengingati Allah di tempat yang sunyi lalu mengalir air matanya”.

 (Riwayat at-Tirmidzi)

InsyaAllah, kita sama-sama berdoa agar kita tergolong dari salah satu sifat diatas..

Khamis, 3 Februari 2011

Gambaran Hari Penghabisan

Subhanallah...bersama la kita ambil iktibar dengan paparan video klip ini.. semoga kita sentiasa berasa insaf, takut kepada Allah S.W.T dan dapat mempertingkatkan keImanan dan keTaqwaan kita selagi masih sempat... sesungguhnya, Kiamat itu pasti akan datang..


"Apabila sangkakala ditiup sekali tiup, Dan bumi dan gunung-gunung diangkat, lalu keduanya pecah sekali pecah (hancur)"
Surah Al-Haqqah, ayat 13&14

Rabu, 26 Januari 2011

Taubat

Setiap umat manusia pasti tidak akan terlepas dari membuat dosa. Itu adalah lumrah alam. Sesunguhnya setiap kejadian perkara itu hanya akan terjadi dengan izin Allah S.W.T. Telah banyak perkara-perkara dosa yang kita telah lakukan, dan tidak sedar akan kita bahawa setiap perkara itu adalah ujian dari Allah S.W.T. Didalam surah At-Taubah ayat ke 126, Allah S.W.T ada berfirman dan menyatakan  "Tidakkah mereka tahu, bahawa mereka diuji tiap tahun, sekali atau dua kali, kemudian mereka tidak bertaubat dan tidak pula mengambil peringatan".

Ini adalah kata-kata Allah S.W.T dan jika kita merujuk Al-Quran sebagai panduan, kita akan tahu yang ujian dari Allah S.W.T tu pasti akan datang pada tiap-tiap tahun. Dan harus kita segera bertaubat jika ujian yang kita hadapi itu membawa kita kepada perkara-perkara yang boleh mendatangkan dosa. Akan tetapi, jika Iman seseorang itu teguh dan utuh, maka dapatlah dia menerima ujian itu dengan sebaik-baik perkara yang mungkin. Contohnya: Kita diberikan rahsuah yang jumlahnya tinggi, maka itu adalah satu ujian.. Jika iman kita tidak kuat, nescahaya kita mengikut bisikan syaitan dengan mengambil wang rasuah tersebut. Tetapi, bagi orang yang beriman dan bertaqwa (takut akan Allah S.W.T) pasti mereka akan dapat mengatasi nafsu dan bisikan syaitan tersebut. Maka, dengan perbuatan dan kesalahan yang kita lakukan itu, perlu diambil peringatan dengan bertaubat kepada Allah S.W.T. serta terus meninggalkan perbuatan tersebut.

Insyaallah, dengan taubat yang sebenar-benar yang ikhlas dari hati nurani kita dan berazam untuk tidak melakukannya lagi akan diterima oleh Allah S.W.T dan diperlu disertakan dengan amalam-amalan yang diperintahkan juga perlu sentiasa meningkatkan keimanan dan ketaqwaan dalam diri. Ini dapat dilakukan dengan kerap solat berjemaah dimasjid, mendengar kuliah-kuliah ilmu agama, membaca Al-Quran dan tafsirnya serta membaca hadis-hadis amalan junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W. Insyaallah, kita akan diberkati dan dirahmati oleh-Nya.

"Kecuali orang-orang yang bertaubat dan memperbaiki serta menyatakan, maka Aku terima taubat mereka, dan Aku Penerima taubat, lagi Maha Penyayang"
-surah Al-Baqarah, ayat 160-

Selasa, 25 Januari 2011

Munafik

Golongan munafik sudah wujud sewaktu hayat Rasulullah SAW lagi. Istilah itu digunakan bagi merujuk kepada golongan yang hanya berpura-pura mengikuti ajaran Islam, tetapi hakikatnya mereka tidak mengakui atau ragu-ragu terhadap kebenaran Islam dalam hati. 

Saya yakin yang kita ini juga pernah tergolong dalam golongan yang munafik. Jadi, bersegeralah kita bertaubat dan memohon keampunan kepada ALLAH S.W.T dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh-Nya. Bukan sahaja hanya meninggalkan perkara-perkara yang dilarang malah kita kena patuh dan wajib laksanakan suruhan-Nya. baru lah kita akan terhindar dari sifat munafik ini.

Masyaallah, saya sangat sedih  apabila mengenangkan kembali perbuatan dan sifat-sifat saya yang lepas. Apabila membaca tafsir Al-Quran ini, banyak yang saya lihat disebutkan oleh ALLAH S.W.T berhubung dengan orang yang munafik ini.. Sama seperti orang kafir yang mana akan dibalas dengan azab yang keras dan kekal dalam isi neraka. Subhanallah... tetapi, jika tertaubat dengan  sebenar-benarnya, nescayaha ALLAH S.W.T akan menerima taubat kita dan dijauhkan dari api neraka. Sesungguhnya ALLAH S.W.T itu maha Pengasih dan Maha Pengampun.

"Dan Allah S.W.T telah menjanjikan neraka jahanam untuk orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan dan orang-orang kafir serta kekal mereka didalamnya, dan untuk mereka seksaan yang abadi"
-surah At-Taubah, ayat 68-

Isnin, 24 Januari 2011

Percaya Kepada Perkara Ghaib

Assalamualaikum...

Hari saya nak berkongsi berkenaan dengan memantapkan dan mempertingkatkan IMAN yang sedia ada dalam diri kita. Alhamdulillah, kita bersyukur kepada ALLAH S.W.T kerana kita dilahirkan sebagai seorang umat Islam dari keluarga Islam dan IMAN yang kita ada pada mulanya adalah IMAN ikutan dari ibu bapa kita. Adakah ia cukup sebagai bekalan kita nanti? Jawapannya semestinya TIDAK. Adalah perlu untuk kita setiap hari mempertingkatkan keIMANan kita serta keTAQWAan kita kepada ALLAH S.W.T. untuk mendapat keredhaan dari-Nya.

Jadi bagai mana kita nak pertingkatkan IMAN itu? dengan menunaikan solah? bersedekah? berpuasa?... ini semua adalah ibadah semata-mata yang dilakukan oleh orang yang TELAH berIMAN. Jadi, sebelum kita pergi kehadapan melakukan ibadah-ibadah yang dituntut oleh agama ALLAH S.W.T. , hendaklah kiranya kita percaya kepada perkara-perkara ghaib (yang tidak dapat dilihat secara terus oleh mata kasar kita) terlebih dahulu iaitu pertama-tama kalinya adalah mempercayai kewujudan ALLAH S.W.T. , tuhan yang satu dan maha esa. Tiada tuhan lain melainkan ALLAH S.W.T. Percaya kepada Hari Kiamat serta balasan seksaan(neraka) dan kebaikan(syurga) yang pasti akan berlaku. Percaya akan Al-Quran yang diturunkan dan disampaikan oleh Rasulullah S.A.W adalah benar dan semua kata-kata yang terdapat didalam Al-Quran itu adalah kata-kata dari ALLAH S.W.T.

Apabila kita percaya dan takut akan ALLAH S.W.T itu, nescahaya kita akan sentiasa untuk mempertingkatkan keIMANan kita dengan mengerjakan ibadah-ibadah yang disuruh dan meninggalkan perkara-perkara yang dilarang oleh-Nya. Selain daripada itu, selalulah kita mengingati mati yang akan datang pada bila-bila masa sahaja. Justeru, perlu kita bersiap sedia membuat persiapan dengan perbanyakkan amal ibadah demi kepentingan hari akhirat yang kekal selama-lamanya.

Ingatlah semua, dengan keIMANAN yang tinggi dan sentiasa dipertingkatkan, akan mudahlah bagi kita mengerjakan ibadah-ibadah lain dengan senang dan tenang seperti solah lima waktu, berpuasa, berzikir, bersedekah, berzakat dan sebagainya. Insyaallah, semoga kita suma akan diramati oleh ALLAH S.W.T dan sama-sama kita mempertingkatkan lagi IMAN yang sedia ada.

Jumaat, 21 Januari 2011

Mukadimah dan Pendahuluan

Assalamualaikum...

Terlebih dahulu bersyukur (Alhamdulillah) kita kepada Allah S.W.T yang telah menemukan kita dengan blog penulisan ini dimana sedikit sebanyak akan dikongsikan maklumat berkenaan dengan tatacara kehidupan seorang insan yang digelar MUKMIN yang berIman dan berTaqwa yang sentiasa beriman kepada Penciptanya dan hari pembalasa... Insyaallah...

Tujuan blog ini diadakan adalah kerana untuk berkongsi maklumat dan mengembangkan lagi ajaran agama Allah keseluruh umat manusia samada umat Islam itu sendiri mahupan penganut ajaran selain dari Islam. Dengan adanya maklumat-maklumat sebegini, Insyaallah kita tidak akan lalai dan dapat memperbetulkan mana-mana aqidah dan tatacara yang biasa kita lakukan yang tidak sama sekali terdetik mengetahui bahawa ianya adalah bertentangan dengan ajaran Islam.

Jadi, marilah kita sama-sama pesan memesan antara satu sama lain agar kita tidak leka dan lalai dengan bisikan dan ajakan syaitan yang mana sentiasa menyuruh dan mengajak kita membuat pekerjaan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah S.W.T..

"wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang menciptakan kamu dan orang-orang yang sebelum kamu. mudaha-mudahan kamu bertakwa"
-surah Al-Baqarah ayat ke-21-